Keratan Akhbar

 media1

Kehadiran 3 pemimpin kuasa besar, kejayaan buat Malaysia Oleh Kamarulzaidi KamisdanMahanum Abdul Aziz dan Mohd Zaky Zainuddin bhbiz@bh.com.my KEHADIRAN tiga pemimpin kuasa besar dunia secara serentak iaitu Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 (ABIS 2015), adalah antara perkara di luar jangkaan dan menjadi kejayaan besar kepada Malaysia. - Foto AFP KUALA LUMPUR: Kehadiran tiga pemimpin kuasa besar dunia secara serentak iaitu Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 (ABIS 2015), adalah antara perkara di luar jangkaan dan menjadi kejayaan besar kepada Malaysia. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata bukan mudah untuk menghimpunkan tiga pemimpin utama dunia itu untuk berucap pada satu majlis yang sama. "Ini adalah satu rekod untuk menghimpunkan pemimpin utama dunia untuk berucap di satu majlis yang sama dengan dimulai oleh Presiden Amerika Syarikat AS, Barack Obama; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri India, Narendra Modi. "Mereka ini bukan saja pemimpin negara kuasa besar dan menerajui negara yang mempunyai penduduk yang ramai, malah mereka juga mempunyai personaliti tersendiri yang hebat," katanya ditemui di Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini. Mustapa berkata, dalam ucapan mereka, ketiga-tiga pemimpin terkemuka dunia itu berkongsi matlamat masa depan masing-masing dengan Obama menyentuh mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang mana disifatkannya sebagai "agen pengubah" untuk dunia dengan menetapkan peraturan masa depan perdagangan dunia dan menjadikan negara anggota lebih berintegrasi dan rapat. Ucapan Abe pula, katanya, menyentuh mengenai inisiatif baharu bagi mempertingkatkan lagi kerjasama antara ASEAN dan Jepun termasuk pembangunan kapasiti. Sementara Modi pula, katanya, berucap mengenai angin perubahan yang berlaku di republik itu yang mana India kini adalah ekonomi paling pesat berkembang di dunia ketika ini. "Pada pandangan kami, ia adalah satu kejayaan besar untuk menghimpunkan mereka berucap dalam satu forum yang sama," katanya. Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015 yang diadakan selama dua hari bermula Jumaat lalu, dianjurkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ke Atas